Pages

Skirt Kedut Untuk Si Adik

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah



Skirt kedut lagi ?.

Sekarang ini memang musim saya menjahit skirt kedut. Jadi, buat masa ini entri saya akan penuh dengan skirt kedut saja.

Selepas ini saya tidak tahu musim saya menjahit apa pula.

Macam buah-buahan pula ya ada musim.


Skirt ini saya jahitkan untuk adik perempuan saya di kampung. Bahagia betul mereka ya ada kakak yang suka menjahit. Lebih-lebih lagi adik saya yang ini memang kuat melaram.

Seronok sangat dia. Tak sabar-sabar nak ambil gambar.

Saya pun tumpang seronok juga, sekurang-kurangnya dapat menghasilkan sesuatu yang menggembirakan orang lain.


Si 'bulus' ini pun sibuk nak bergambar. Dia pun nak melaram juga dengan bulunya yang putih gebu dan suci murni tu.



Pertama Kali Menjahit Beg

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

Hari ini entri saya dipenuhi dengan gambar-gambar beg.

Kebanyakannya semua projek jahitan saya pada tahun-tahun lepas. Tahun ini aktiviti menjahit agak berkurang sedikit disebabkan kengkangan masa.

Beg-beg inilah penyebab utama saya jatuh cinta dengan bidang jahitan apabila saya cuba hendak belajar menjahit beg sendiri.

Selalu lihat blogger-blogger berkongsi entri berkenaan beg hasil jahitan mereka sendiri yang sangat kreatif dan cantik. Mereka juga berkongsi tutorial menjahit beg menyebabkan saya pun teringin untuk menjahitnya sendiri.

Jadi inilah hasilnya.



Waktu baru-baru nak belajar menggunakan mesin jahit.

Masa inilah jarum saya banyak patah, tapak jahit patah, salah potong kain dan macam-macam lagi. Ganas tidak ganasnya saya. Jahit beg tote saja pun. Tapi semua alat jahitan patah macam saya menjahit beg besi pula.





Bila dah berjaya menghasilkan dua buah beg tote, saya jahit lagi. Tengah 'mood' menjahit beg katakan. Lagipun masih banyak kelemahan yang perlu saya perbaiki untuk dapatkan hasil yang lebih memuaskan.


Apabila sudah banyak menjahit beg tote, saya beranikan diri menjahit beg yang berzip pula. 

Masa mula-mula dulu, kalau boleh memang mengelak menjahit beg yang menggunakan zip. Takut-takut jarum patah lagi.

Tapi kena cuba, kalau tidak cuba sampai bila pun tidak berjaya. Kemahiran pun tidak dapat dikembangkan.


Ini pula beg paling terkini saya jahit itu pun tahun lepas juga. Saya menggunakan kain panel yang berlebihan.

Dalam proses berjinak-jinak belajar menggunakan pemegang beg yang 'readymade'. Hanya perlu menjahit beg sahaja, kemudian pemegangnya akan dipasang kemudian setelah beg siap dijahit.

Cara ini lebih mudah dan menjimatkan masa. Masa untuk menggunting dan menjahit pemegang beg dapat dikurangkan. Lagipun, beg juga nampak lebih eksklusif pada yang sudah pandai menjahit.

Ada banyak lagi beg-beg yang saya hasilkan tapi kebanyakannya telah dihantar ke kampung. Saya berikan pada adik-adik perempuan saya, tidak sempat untuk tangkap gambar sebagai simpanan.

Saya rasa cukup di sini saja. Jumpa lagi di entri akan datang. Terima kasih kerana sudi membaca.

Selamat berhujung minggu dan selamat menjahit.



Kelas Intensif Jahitan Baju Kurung Dewasa

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah


Alhamdulillah.

Berjaya juga akhirnya.

Hasil tunjuk ajar dari Kak Dila, seorang tukang jahit berpengalaman di kelas intensif jahitan baju kurung baru-baru ini, saya dapat menjahit baju kurung sendiri mengikut teknik yang betul.

Benarlah apa orang kata, kalau hendak mencari ilmu biarlah berguru. Berguru dari orang berpengalaman, banyak ilmu yang boleh diperolehi.

Seronok rasanya dapat belajar menjahit baju kurung dengan Kak Dila kerana beliau tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan juga tip-tip menjahit. Banyak ilmu jahitan baru yang saya perolehi sepanjang kelas kerana sebelum ini saya hanya tahu menghasilkan jahitan kreatif sahaja seperti bag dan juga bantal.

Sepanjang kelas, saya telah diajar satu-persatu langkah-langkah menjahit baju kurung seperti melukis pola, mengambil ukuran badan dan juga dari baju contoh, cara menggunting kain serta banyak lagi langkah-langkah yang seterusnya.

Bersama saya yang datang belajar pada hari itu, seorang usahawan muda dari Teluk Intan yang cuba berjinak-jinak menceburi bidang jahitan pula.

Saya kagum dengannya walaupun tiada asas menjahit tapi masih mampu menyiapkan sepasang baju kurung sendiri dalam masa dua hari.

Ini menunjukkan apabila keinginan belajar dalam diri seseorang itu sangat tinggi disertakan dengan kesungguhan, segala halangan dapat ditempuhi. In shaa Allah.


Di antara beberapa ilmu jahitan yang saya pelajari. Kemasan pada lubang leher dan jahitan butang pada baju kurung. Untuk kemasan pada lubang leher, saya diajar dengan jahitan silang pangkah.


Jahitan insang pari  untuk rumah butang. Sebelum ini, saya tidak pernah tahu dan ambil tahu pun nama jahitan ini. Hanya tahu pakai baju kurung sahaja.

Sekarang sudah tahu dan sudah berjaya pun menjahitnya sendiri. Alhamdulillah, ilmu baru.


Jahitan silang pangkah sebagai kemasan pada kelepet baju.


Ini bahagian kain pula, jahitan getah pinggang pada kain.


Ooopss..

Kata-kata semangat dari Encik Suami. Walaupun hanya tiga patah perkataan sahaja, sudah cukup bermakna sebagai dorongan untuk saya belajar lagi.

Saya tidak sedar bila nota ini diletakkan pada baju kurung ini. Masuk-masuk bilik menjahit sudah ada.

Berbunga-bunga rasanya hati. Terima kasih abang.

. . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . .

Kelas intensif jahitan baju kurung dewasa ini  diadakan di Ipoh dan dijalankan pada hujung minggu sahaja.

Untuk satu sesi kelas hanya dua orang pelajar sahaja, jadi sesi komunikasi di antara satu sama lain lebih mudah dan jelas.

Walaupun kelas ini berlangsung selama dua hari, kita masih lagi boleh bertanya dengan Kak Dila selepas habis kelas jika masih ada yang tidak faham.

Selain baju kurung ada juga pakej lain yang diajar seperti pakej jahitan baju kurung moden dan jubah.

Pada sesiapa yang berminat untuk belajar menjahit bersama Kak Dila, lebih-lebih lagi yang tinggal berdekatan di Ipoh bolehlah singgah di blog Kak Dila, Flora Fancy Fabric untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai kelas intensif ini.

Saya sudah tidak sabar nak mulakan marathon menjahit baju kurung ini. Baru saja pulang dari membeli kain untuk baju kurung seterusnya.

Ilmu yang diajar perlu dipraktikkan segera. Jika tidak kita akan lupa segala input yang diajar.

Selamat menjahit kepada anda semua!.



Alatan Asas Menjahit Pakaian

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

Selain mesin jahit, kita juga perlukan alatan menjahit supaya aktiviti menjahit boleh dimulakan.

Sebelum menjahit, penting untuk kita mengenali alatan menjahit dan fungsinya terlebih dahulu supaya aktiviti jahitan dapat dilakukan dengan lancar.

Berikut adalah alatan asas yang sering digunakan dalam menjahit pakaian. Mari kita mulakan.

Pertama sekali, apa yang kita perlu tahu, peralatan menjahit terbahagi kepada;
1. Alatan mengukur
2. Alatan menanda
3. Alatan memotong


1. Alatan Mengukur




Pita Ukur
Sejenis alat pengukur boleh lentur yang mempunyai ukuran dalam inci dan sentimeter. Digunakan untuk mengambil ukuran badan.



Pembaris Lengkung
Bahagian lengkung pada pembaris digunakan untuk membentuk garisan melengkung semasa melukis pola seperti garisan leher, kaki skirt, bahagian lengan dan bahagian lengkung yang lain. Mempunyai ukuran dalam inci dan sentimeter.



Pembaris Siku
Digunakan untuk membuat garisan bersudut tegak (90 darjah) dan juga garisan lurus. Bahagian melengkung juga boleh digunakan untuk membentuk garisan leher, kaki skirt, bahagian lengan dan bahagian lengkung yang lain. Mempunyai ukuran dalam inci dan sentimeter.



Pembaris Meter
Digunakan untuk mengukur dan membuat garisan lurus. Mempunyai ukuran dalam inci dan sentimeter.


2. Alatan Menanda 




Kertas Karbon
Digunakan bersama roda surih untuk memindahkan garisan dari kertas pola ke atas fabrik. Kertas karbon terdapat dalam warna hijau, merah, putih, biru dan kuning. Kesan karbon pada fabrik akan hilang selepas fabrik tersebut dicuci.



Roda Surih
Digunakan bersama kertas karbon untuk memindahkan garisan dari kertas pola ke atas fabrik. Roda surih digelek mengikut garisan yang telah dilukis pada kertas pola dengan meletakkan kertas karbon di antara kertas pola dan fabrik. Roda surih mempunyai kegunaan yang berbeza mengikut jenis rodanya. Roda yang licin dan tidak bergerigi sesuai untuk semua fabrik, roda yang bergerigi halus pula untuk fabrik sederhana tebal serta roda yang bergerigi tajam digunakan untuk fabrik yang tebal. Gambar di atas adalah contoh roda surih jenis bergerigi halus.



Kapur Tukang Jahit
Digunakan untuk melukis dan menanda garisan dari kertas pola ke atas fabrik. Terdapat dalam empat warna iaitu merah, biru dan kuning dan putih. Kesan tanda yang dibuat di atas fabrik mudah padam berbanding karbon.



Pensel Tukang Jahit
Digunakan untuk melukis pola pada kertas dan menanda garisan pada fabrik.



Jarum Peniti
Digunakan untuk menetapkan kedudukan di antara fabrik semasa menjahit. Juga digunakan untuk melekatkan kertas pola pada fabrik.


3. Alatan Memotong




Gunting Kain
Gunting yang diperbuat dari keluli berkilat serta mempunyai bentuk yang runcing dan bermata bulat di hujungnya lebih sesuai digunakan untuk memotong fabrik. Gunting perlu tajam bagi mengelakkan kain dari rosak dan berbulu apabila dipotong. Gunakan gunting untuk memotong fabrik sahaja dan jangan digunakan sekali untuk mengunting kertas, ini akan menyebabkan ia tumpul. Gunting tidak boleh jatuh kerana apabila bilahnya renggang, ia akan menghilangkan keseimbangan gunting semasa memotong kain.



Snipper
Digunakan untuk memotong lebihan benang semasa menjahit.



Penetas
Digunakan untuk menetas dan membuka semula jahitan jika terdapat kesilapan ataupun jahitan tidak kemas semasa menjahit. Bahagian matanya yang tajam digunakan juga untuk menebuk lubang butang. Bahagian matanya diperbuat daripada keluli manakala bahagian pemegangnya pula diperbuat daripada plastik. Ia juga mempunyai sarung penutup.

Selain itu, kita juga perlukan seterika. Sama ada seterika elektrik ataupun seterika stim, alatan menggosok untuk mendapatkan hasil jahitan yang cantik dan kemas.

Semoga perkongsian ini dapat membantu dan memberi manfaat.

Selamat menjahit !.