Pages

Alatan Asas Menjahit Pakaian

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

Selain mesin jahit, kita juga perlukan alatan menjahit supaya aktiviti menjahit boleh dimulakan.

Sebelum menjahit, penting untuk kita mengenali alatan menjahit dan fungsinya terlebih dahulu supaya aktiviti jahitan dapat dilakukan dengan lancar.

Berikut adalah alatan asas yang sering digunakan dalam menjahit pakaian. Mari kita mulakan.

Pertama sekali, apa yang kita perlu tahu, peralatan menjahit terbahagi kepada;
1. Alatan mengukur
2. Alatan menanda
3. Alatan memotong


1. Alatan Mengukur




Pita Ukur
Sejenis alat pengukur boleh lentur yang mempunyai ukuran dalam inci dan sentimeter. Digunakan untuk mengambil ukuran badan.



Pembaris Lengkung
Bahagian lengkung pada pembaris digunakan untuk membentuk garisan melengkung semasa melukis pola seperti garisan leher, kaki skirt, bahagian lengan dan bahagian lengkung yang lain. Mempunyai ukuran dalam inci dan sentimeter.



Pembaris Siku
Digunakan untuk membuat garisan bersudut tegak (90 darjah) dan juga garisan lurus. Bahagian melengkung juga boleh digunakan untuk membentuk garisan leher, kaki skirt, bahagian lengan dan bahagian lengkung yang lain. Mempunyai ukuran dalam inci dan sentimeter.



Pembaris Meter
Digunakan untuk mengukur dan membuat garisan lurus. Mempunyai ukuran dalam inci dan sentimeter.


2. Alatan Menanda 




Kertas Karbon
Digunakan bersama roda surih untuk memindahkan garisan dari kertas pola ke atas fabrik. Kertas karbon terdapat dalam warna hijau, merah, putih, biru dan kuning. Kesan karbon pada fabrik akan hilang selepas fabrik tersebut dicuci.



Roda Surih
Digunakan bersama kertas karbon untuk memindahkan garisan dari kertas pola ke atas fabrik. Roda surih digelek mengikut garisan yang telah dilukis pada kertas pola dengan meletakkan kertas karbon di antara kertas pola dan fabrik. Roda surih mempunyai kegunaan yang berbeza mengikut jenis rodanya. Roda yang licin dan tidak bergerigi sesuai untuk semua fabrik, roda yang bergerigi halus pula untuk fabrik sederhana tebal serta roda yang bergerigi tajam digunakan untuk fabrik yang tebal. Gambar di atas adalah contoh roda surih jenis bergerigi halus.



Kapur Tukang Jahit
Digunakan untuk melukis dan menanda garisan dari kertas pola ke atas fabrik. Terdapat dalam empat warna iaitu merah, biru dan kuning dan putih. Kesan tanda yang dibuat di atas fabrik mudah padam berbanding karbon.



Pensel Tukang Jahit
Digunakan untuk melukis pola pada kertas dan menanda garisan pada fabrik.



Jarum Peniti
Digunakan untuk menetapkan kedudukan di antara fabrik semasa menjahit. Juga digunakan untuk melekatkan kertas pola pada fabrik.


3. Alatan Memotong




Gunting Kain
Gunting yang diperbuat dari keluli berkilat serta mempunyai bentuk yang runcing dan bermata bulat di hujungnya lebih sesuai digunakan untuk memotong fabrik. Gunting perlu tajam bagi mengelakkan kain dari rosak dan berbulu apabila dipotong. Gunakan gunting untuk memotong fabrik sahaja dan jangan digunakan sekali untuk mengunting kertas, ini akan menyebabkan ia tumpul. Gunting tidak boleh jatuh kerana apabila bilahnya renggang, ia akan menghilangkan keseimbangan gunting semasa memotong kain.



Snipper
Digunakan untuk memotong lebihan benang semasa menjahit.



Penetas
Digunakan untuk menetas dan membuka semula jahitan jika terdapat kesilapan ataupun jahitan tidak kemas semasa menjahit. Bahagian matanya yang tajam digunakan juga untuk menebuk lubang butang. Bahagian matanya diperbuat daripada keluli manakala bahagian pemegangnya pula diperbuat daripada plastik. Ia juga mempunyai sarung penutup.

Selain itu, kita juga perlukan seterika. Sama ada seterika elektrik ataupun seterika stim, alatan menggosok untuk mendapatkan hasil jahitan yang cantik dan kemas.

Semoga perkongsian ini dapat membantu dan memberi manfaat.

Selamat menjahit !.



2 comments: