Jalan-Jalan Chiang Mai, Thailand: Hari Terakhir Di Sini

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

05.05.2017, Rabu. Selamat tinggal Thailand.

"Land of smiles, land of freedom & land of hospitality"

Kami sudah merasai berada di Bangkok, Pattaya, Hatyai dan Chiang Mai, banyak memori dan pengalaman yang dikutip sepanjang bercuti. Mempelajari budaya dan keunikan negara Thailand, negara yang berjiran dengan Malaysia. Diizinkan Allah, ada rezeki, ada peluang dapat lihat budaya dan keunikan di negara lain pula. Aamin. InsyaAllah.

Kami menginap di Ramona Grand Hotel. Hotel yang menyediakan restoran halal, jadi kami tiada masalah untuk menikmati sarapan pagi. Layanan staff yang ramah walaupun pada hari kedua di situ ada masalah plug bilik yang rosak dan menyukarkan saya untuk menyerika baju tapi ditangani dengan baik oleh staff. Dapat berkenalan dengan pemiliknya iaitu seorang perempuan cantik, kelakar dan peramah. Cik Sharifah namanya.

Hotel ini terletak di tengah-tengah bandar Chiang Mai. Hanya 10 minit ke Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai, berhadapan dengan Hospital, keluar sahaja dari kawasan hotel sudah nampak gerai-gerai Saturday Night Market, berdekatan dengan kedai serbaneka 7-Eleven dan Tesco Lotus Express dan mudah untuk mendapatkan pengangkutan seperti teksi dan tut-tut.

Bye, Bye Chiang Mai !



Jalan-Jalan Chaing Mai, Thailand: Warorot Market & Central Festival Mall

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

04.04.2016, Selasa. Hari ini adalah hari terakhir kami berada di Chiang Mai, Thailand. Esok kami akan berangkat pulang. Bangun pagi selepas sarapan kami mula buat perancangan mahu ke mana. Asalnya mahu pergi ke Muzium 3d, Art in Paradise dan menaiki belon panas di Balloon Port tapi suami berubah fikiran.  Studio 3d di Malaysia pun banyak katanya dan hot balloon tu rasa takut tak sempat balik hotel awal pula .

Terlalu banyak tempat mahu pergi sehingga pening mahu ke mana. Akhirnya di kami bercadang mahu pergi ke Warorot Market dan Central Festival Mall. Sebab perlu balik awal untuk mula berkemas. 

Dari hotel kami menaiki teksi merah ke Warorot Market. Ia adalah sebuah pasar dua tingkat dimana bahagian bawah menjual makanan dan di bahagian atas pula menjual pakaian, kasut dan beg. Berdepan dengannya juga ada sebuah pasar yang serupa iaitu Ton Lamyai Yang. Di bahagian luar juga ada gerai-gerai kecil. Dibuka pada setiap hari pada pukul 5 pagi sehingga 6 petang.

Lebih kurang dua jam juga kami berada di sini kemudian kami ke Festival Mall. Sebuah pasaraya terbesar di Chiang Mai. Ia lebih kurang AEON kalau di Ipoh, Malaysia. Ia mempunyai banyak cawangan di Thailand.  Jam sudah menunjukkan pukul 1.00 tengah hari, perut sudah berkeroncong. Kami mencuba nasib pergi ke foodcourtnya, Alhamdulillah ada sebuah kedai menjual makanan halal.

Selepas makan, kami berjalan-jalan disini dan pulang ke hotel sebelum lewat petang untuk mula mengemas apa yang patut. Esok pagi perlu keluar awal untuk ke lapangan terbang.



Jalan-Jalan Chiang Mai, Thailand: Night Bazaar & Restoran Babylonian Iraqi

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

03.04.2017, Isnin. Setelah seharian berada di Chiang Rai, kami tiba di Chiang Mai pada pukul 9.00 malam dan meminta pemandu pelancong menurunkan kami di Night Baazar. Tarikan waktu malam di Chiang Mai. Ia dibuka pada setiap hari. Memandangkan esok malam kami akan berkemas-kemas untuk balik ke Malaysia jadi kami kuatkan juga kudrat untuk berjalan menikmati suasana Night Baazar walaupun keletihan menempuh perjalanan di Chiang Rai.

Di sini ada menjual pakaian, kasut, poskad, kain songket, perkhidmatan urut kaki dan pelbagai lagi. Jika mencari barangan handmade lebih baik pergi ke Satudarday & Sunday Night Market. Di situ barang-baangnya lebih menarik. Sempat juga kami memborong beberapa buah tangan untuk dibawa balik. 

Berjalan sampai tak ingat dunia baru sedar kami belum makan malam lagi. Kali terakhir makan di Chiang Rai tadi itupun dalam pukul 2.30 petang. Lepas itu tiada makanan yang masuk dalam perut. Alhamdulillah, semasa berjalan-jalan mencari restoran halal terjumpa sebuah restoran Arab. Masih buka dan kami pun bergegas naik dan menikmati makan malam. Syukur tak tekata. Hilang penat semuanya. Restoran ini di tingkat satu dan ia terbuka. Dekorasinya juga ala-ala arab.

Selesai makan kami pun sambung berjalan-jalan di Night Baazar dan kemudian menaiki teksi merah untuk pulang ke hotel.



Jalan-Jalan Chiang Mai, Thailand: Golden Triangle & Karen Village Long Neck

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

03.04.2017, Isnin. Akhirnya kami sampai ke Golden Triangle. Tempat ini dipanggil Golden Triangle kerana ia adalah tempat pertemuan di antara tiga buah negara iaitu Thailand, Myammar dan Laos. Ia juga tempat pertemuan di antara Sungai Ruak dan Sungai Mekong yang menjadi sempadan semulajadi di antara tiga buah negara ini. Sungai Mekong merupakan sungai yang ke-12 terpanjang di dunia.

Dahulu Golden Triangle ini terkenal sebagai tempat pengeluaran opium antarabangsa. Opium sejenis tanaman liar dan di dalamnya terdapat getah kering. Getah kering ini jika diproses secara kimia akan menjadi dadah.

Di sini kami dibawa menaiki bot menelusuri Sungai Mekong dan berhenti di Pulau Dansao, sebuah pulau milik Laos. Masuk di sini tidak perlu visa. Di sini ada banyak menjual beg.

Selepas meninggalkan Pulau Dansao dan kembali ke Thailand, kami pergi makan tengahari dan dibawa ke Mae Sai, bahagian paling utara di Thailand dan bersempadan dengan Myammar sebelum di bawa melawat ke perkampungan leher panjang iaitu Karen Village. Perkampungan ini banyak terdapat di sekitar Chiang Rai.

Menurut pemandu pelancong, gelang logam seberat setengah kilogram dipasang bermula pada usia mereka empat tahun. Kemudian setiap tiga tahun berat gelang logam akan ditambah satu kilogram sehingga cukup lima kilogram. Gelang ini hanya akan dicabut apabila mereka meninggal dunia.

Tamat sudah perjalanan satu hari di Chiang Rai. Seterunya bergerak balik ke Chiang Mai.



Jalan-Jalan Chiang Mai, Thailand: Hot Spring & White Temple, Chiang Rai

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

03.04.2017, Isnin. Jika ke Chiang Mai tidak lengkap percutian jika tidak pergi ke Chiang Rai. Chiang Rai adalah sebuah daerah di utara Thailand. Dari Chiang Mai mengambil masa selama 3 jam untuk sampai dan terpaksa melalui jalan yang bengkang-bengkok.

Pada mulanya mahu pergi sendiri tetapi perjalanannya agak jauh dan kami tidak merancang untuk tidur di sana. Jadi kami telah meminta pihak hotel menguruskan dan mencari pakej sehari dari agen pelancongan untuk membawa kami ke sana bagi memudahkan perjalanan. Chiang Mai mempunyai keadaan geografi yang berbukit-bukau dan cuacanya tidaklah begitu panas jika dibandingkan berada di Bangkok.

Kami pergi menaiki van pelancong dan bertolak dalam pukul 8.30 pagi dari hotel. Turut serta bersama kami adalah pasangan pelancong dari England dan Israel, pengembara solo dari UK dan juga satu keluarga pelancong dari China. Walaupun perjalanan agak berbahaya disebabkan jalan yang bengkang-bengkok tapi kami sempat juga terlelap kerana keletihan. Sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pemandangan indah bukit-bukau yang menghijau.

Tempat pertama kami kunjungi adalah kolam air panas (Hot Spring Chiang Rai). Kami diberi masa selama 15 minit sahaja. Suami pergi ke tandas dan saya pula sibuk mencari selipar di gerai berdekatan kerana kaki melecek memakai kasut. Masa yang diberi tidak cukup untuk kami melihat kolam air panas dengan lama. Kemudian kami terus bergerak ke destinasi berikutnya.

Kemudian kami singgah pula di White Temple (Wat Rong Khun). Sebenarnya kami merancang mahu melihat masjid terbesar di Chiang Rai iaitu Masjid Darunaman tapi kami terpaksa akur kerana mengikut rombongan. White temple ini diilhamkan oleh seorang pelukis dari Thailand untuk menunjukkan kecintaannya pada Budha. Kuilnya semua berwarna putih.

Kami melalui jambatan putih terus masuk ke dalam kuilnya tapi kami telah mengambil jalan pintas di tepi dan keluar dari situ. Kami hanya berada di luar melihat senibinya dan ukirannya sambil menunggu van dan pelancong lain yang bersama kami untuk bergerak ke destinasi berikutnya.

Seterusnya destinasi kami adalah Golden Triangle dan Perkampungan Leher Panjang, Karen Village.



Jalan-Jalan Chiang Mai, Thailand: Hari Pertama & Makan Malam Di Restoran Ruammit 1

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

01.04.2017. Sabtu. Percutian ke Chiang Mai, Thailand ini sempena meraikan hari ulang tahun perkahwinan kami. Perjalanan bermula dari Terminal Aman Jaya, Ipoh dengan menaiki bas YOYO pada pukul 2.30 pagi terus ke KLIA dan sampai di sana dalam pukul 5.30 pagi. Penerbangangan kami akan berlepas pada pukul 10.15 pagi dan dijangka sampai pada pukul 12.00 tengah hari dengan menaiki penerbangan Malindo Air.

Masih awal lagi jadi kami pergi membersihkan diri dulu, solat subuh, sarapan pagi dan berehat sekejap sebelum ke kaunter daftar masuk. Setelah masuk ke balai perlepasan kami diberitahu bahawa penerbangan telah ditunda. Hampir dua jam setengah juga kami menunggu. Lawak April Fool apakah ini.

Akhirnya penerbangan kami berlepas juga pada pukul 2.00 petang dan selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai pada pukul 4.40 petang. Penerbangan mengambil masa lebih kurang 2 jam 45 minit. 

Disebabkan kami sampai hampir lewat petang, selepas daftar masuk hotel kami bercadang untuk mencari tempat makan malam dulu seperti yang telah dirancang. Sebelum ini saya telah membuat itinerary awal-awal supaya memudahkan dan menjimatkan masa perjalanan. Belajar dari kesilapan pergi ke Hatyai sebelum ini. 

Jadi kami bercadang mahu makan di sebuah restoran halal iaitu Restoran Ruammit 1. Kebetulan hari ini adalah hari Sabtu, jadi ada Saturday Night Market dan ia betul-betul berada di luar kawasan hotel. Jadi kami tak mahu melepaskan peluang, kami jalan-jalan dulu di sepanjang lorong night market tersebut sehingga ke hujung gerai kami mencari tuk-tuk untuk ke restoran.

Restoran ini terletak di 170/7 Chang Klan Rd., Tambon Chang Klan, Amphoe Mueng, Chiang Mai. Dibuka pada pukul 10 pagi hingga 10 malam. Ia mempunyai sebuah lagi cawangan di Chiang Rai.

Restorannya memang bersih dan selesa termasuk tandasnya. Menikmati makanan Thai yang sangat sedap. Saya tak pandai untuk menggambarkannya tapi ia memang sedap. Ikan dan sayur-sayurnya kelihatan segar. Layanan yang mesra. Walaupun terletak berhadapan dengan jalan raya, tapi kawasan ini sunyi kerana jalannya tidak banyak kenderaan yang lalu pada waktu malam. Jadi tiada gangguan bunyi bising kenderaan.

Antara gambar yang sempat ditangkap. Selebihnya tak sempat sebab dah lapar sangat.

Selepas makan kami menaiki tuk-tuk terus ke Saturday Night Market. Sambung balik cuci mata tadi. Kebetulan dekat dengan hotel jadi tak perlu pening-pening fikir macam mana mahu balik ke hotel.



Kuih Wajib Ada Setiap Kali Berbuka Di Bulan Ramadhan

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Google

Dari kecil sampai sekarang ada satu kuih tradisional yang sepanjang bulan Ramadhan ia wajib ada setiap kali saya berbuka.

Saya tidak tahu apa yang menarik sangat dengan kuih ini sampai saya amat menggemarinya. Saya panggil ia kuih habuk-habuk. Di sesetengah tempat panggilnya dengan nama kuih tepung gomak. Kuihnya liat-liat sedikit dan berintikan kelapa. Kenapa dia dipanggil habuk-habuk?. Mungkin sebab ia disalut tebal dengan serbuk-serbuk kacang hijau yang telah dikisar halus.

Semasa kecil ayah sudah tahu kegemaran saya ini. Setiap kali balik dari bazar mesti ada satu plastik kecil yang dalamnya ada empat atau lima ketul kuih habuk-habuk. Saya seorang saja yang akan menghabiskannya kerana ahli keluarga yang lain tidak berminat dengan kuih ini. Makan dia macam makan sagu. Bercakap sewaktu kuih ini di dalam mulut boleh tersembur habuk-habuk. Tempias katanya.

Apabila sudah berkahwin suami pula yang mengambil alih membeli kuih habuk-habuk ini. Setiap hari dia akan pergi ke bazar yang berbeza-beza untuk mendapatkan kuih habuk-habuk yang paling sedap. Dua lelaki hebat dalam hidup saya. Mengembirakan insan yang mereka sayang. Hanya Allah yang mampu membalas jasa mereka. Saya sangat menghargainya.

Di sini saya kongsikan salah satu resepi membuat kuih tepung gomak ataupun kuih habuk-habuk dari blog Resepi Raidah. Ada masa nanti bolehlah belajar buat. Sampai bila nak makan kuih habuk-habuk tunjuk. Tengok gambar kuih ini pun terliur dah dibuatnya.

Foto kredit: Resepi Raidah