Pages

Tutorial Sarung Bekas Tisu Mini

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah


Projek jahitan yang tidak perlu menggunakan kain yang banyak. Perca kain pun boleh.

Bahan-bahannya:
1. Peralatan asas menjahit
2. Kain cotton bersaiz 5.5 inci (P) x 6.5 (L) untuk bahagian luar sarung tisu
3. Kain cotton bersaiz 5.5 inci (P) x 7.5 (L) untuk bahagian dalam sarung tisu

* Basi jahitan 1/4 inci.
* P-Panjang, L-Lebar


1. Kain A untuk bahagian luar sarung tisu. Manakala kain B untuk bahagian dalam sarung tisu.


2. Temukan permukaan hadapan kain A dan B seperti dalam gambar. Samakan di bahagian hujung kain dan jahit. Saiz kain B memang akan lebih panjang sedikit.


3. Kemudian, samakan di bahagian hujung satu lagi dan jahit juga.


4. Lepas jahit kedua-dua hujung kain ia akan jadi macam ini.

Sekarang permukaan belakang kain berada di bahagian atas, kan. Jadi kita terbalikkan supaya permukaan hadapan kain yang berada diluar.


5. Jadi macam ini.

Lepas itu, seterika kain supaya lebih rata dan kemas. Kemudian lipatkan kain kepada dua untuk dapatkan garisan tengah.


6. Ambil bahagian hujung kain dan lipatkan ke arah garisan tengah tadi. Ulangi proses yang sama untuk bahagian hujung satu lagi.


7. Pinkan supaya lipatan tak terbuka. Jahit di kedua-dua hujung kain seperti dalam gambar.

Jahit tepi hujung kain supaya tak berbulu. Boleh guna jahitan zig zag jika tiada mesin jahit tepi.

Di bahagian yang ada tanda anak panah, jahit tindih sebanyak 2 kali supaya bukaan itu nanti tak mudah tetas.


Dah siap. Terbalikkan.


Ini hasilnya. Dah boleh guna letak tisu. Selamat mencuba.



Tutorial Hias Pasu Putih SKURAR Dari IKEA

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

' Our home is our art'

Alatannya ialah; marker hitam Sharpie, pensel, pemadam dan bekas kosong yang bewarna putih. Saya guna pasu SKURAR dari IKEA yang sedia ada di rumah. Permukaannya licin senang untuk dilukis.

Corak geometri adalah pilihan selamat. Tidak perlu berimaginasi tinggi sampai kecut otak dibuatnya. Lukis garisan dan bulatan sehingga membentuk satu corak, dilukis berulang-ulang kali. Warnakan hitam di bahagian yang dirasakan sesuai.

Walau apapun hasil lukisan itu, itulah seni yang ikhlas lahir dari hati. Cewah. Lepas siap bolehlah dijadikan hiasan untuk ditenung lama-lama.


Pertama sekali, lukis dahulu corak yang kita mahu. Guna pensel supaya mudah padam.


Kemudian baru ikut semula menggunakan marker hitam Sharpie. Nak guna warna lain pun boleh.


Dah siap. Letakkan di tempat yang boleh dibanggakan untuk dijadikan tatapan setiap hari. Selamat mencuba.



Kotak Fabrik

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

Bila hari tak bekerja, mesin jahit mula memanggil-manggil. Jom beraktiviti katanya.

Nah. Siap dua kotak fabrik dari kain cotton. Untuk menyimpan barang atau guna sebagai hiasan. 
Saiznya 11 cm panjang x 10 cm lebar. Tingginya pula 12 cm dan 15 cm.

Masa menjahit pula lebih kurang 20 minit. Cuma yang mengambil masa nak pilih kain dan nak potong. Itu belum masuk salah ukur dan kena buat balik. Penatnya ya ampun tapi rasa puas bila dapat tengok hasilnya.

Saya jahit ini tengok tutorial dari pak cik Youtube. Nak buatnya pun mudah. Taip sahaja fabric box tutorial, berduyun keluar. Boleh berDIY sampai pengsan.

Selamat menjahit semua.







Patchwork Pouch Bag. Lagi?

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

Nampak tak?. Bila dah mula menjahit tak boleh nak berhenti dah.

Sambungan dari projek semalam. Hari ini jahit patchwork pouch bag lagi. Pun sama juga guna perca-perca kain yang ada. Saya memang tidak ada stok kain yang banyak. Projek suka-suka untuk diri sendiri guna apa yang ada saja. Habiskan hingga ke titisan akhir. Sampai macam itu sekali. Melainkan kalau ada tempahan menjahit baru dibeli kain yang baru.

Sama sahaja pada entri sebelum ini. Cuma yang ini saiznya lebih besar, 9 inci x 11 inci. Dan pouch bag ini ditambahkan lace diantara kain patchwork dan kain di bahagian bawah sebagai hiasan. Ikutkan nak jahitkan juga lace pada kain di bahagian atas. Apabila dilihat balik nampak macam melebih-lebih pula. Biar saja seperti asal.

Hasilnya.





Dua hari cuti, dapat jahit dua beg. Alhamdulillah. Diberi kudrat dan tenaga untuk melakukan perkara yang disukai iaitu menjahit.

Selagi masih ada cuti, selagi itu manfaatkan dengan menjahit. Pulun habis. Hari Isnin, apabila sudah mula bekerja tak boleh fokus macam ini dah.

Esok masih cuti lagi. Masa untuk berehat dan tenang-tenangkan fikiran pula. Selamat berhujung minggu semua.



Patchwork Pouch Bag

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

Hampir empat bulan rasanya tidak menjahit. Wah! lamanya. Penyakit kemalasan apakah yang telah melanda diriku ini. Jika dibiarkan akan bertambah-tambah melarat jawabnya.

Jadi, hari ini cuti umum sempena Hari Malaysia saya paksakan diri untuk menjahit. Jahitlah apa pun. Supaya tak terbiar jadi perhiasan sahaja mesin jahit itu.

Hari cuti baru tenang sikit menjahit. Boleh tumpukan perhatian sepenuhnya. Kalau tak serabutnya ya ampun. Mana nak fikir pasal kerja lagi, nak fikir mood menjahit pula yang waktu sibuk macam itulah dia datang berkobar-kobar.





Kemain intronya. Dah jahit pun.

Hanya menggunakan perca-perca kain sahaja jadi saya memilih untuk menjahit pouch bag. Tidak perlu menggunakan kuantiti kain yang banyak. Tambahan lagi dengan jahitan patchwork, perca-perca kain tersebut dicantum dapatlah menghasilkan satu corak yang menarik. Gunakan selagi apa yang ada di tangan.

Saiznya 10 inci x 6.5 inci. Macam-macam boleh simpan. Jika mahu digunakan untuk menyimpan telefon, perlu ditambah batting (pelapik) di bahagian dalam beg. Batting mempunyai lapisan yang tebal dan lembut, jadi ia dapat melindungi isi beg tersebut.

Setiap kali menjahit, saya memang gemar meletakkan sekali label handmade atau apa-apa corak label pun, sebab ia nampak comel. Menjadi penyeri pada projek jahitan.

Pada bahagian tepi beg pula dijahitkan sekali penyankut beg. Jika rajin bolehlah gunakan kain untuk dijahit sebagai tali pemegang. Jika agak-agak nak cepat siap, letak saja keychain pun boleh.

Seronok dan teruja apabila melihat ia sudah siap. Tiba-tiba macam nak jahit beg lagi. Nampak tak?. Bila mood rajin dah sampai.



Tempahan Beg Untuk Monopod

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdulah


Tempahan dari kakak saudara. Dia minta menjahitkan beg untuk menyimpan monopod. Supaya mudah untuk dibawa ke mana-mana apabila pergi bercuti.

Cara menjahitnya sama sahaja seperti menjahit beg jerut (drawstring bag). Cuma saiznya lebih kecil dan panjang muat-muat mengikut saiz monopod. Saiz beg ini ialah 26 cm x 9cm.

Satu gambar saja yang sempat diambil sebagai simpanan. Kalau tiada gambar macam mana nak update dalam blog ini kan?.

Selepas itu ia perlu dibungkuskan baik-baik untuk dihantar ke pejabat pos. Didoakan bungkusan selamat sampai pada pemiliknya.



Buku Oh Buku

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Google


"There is no friend as loyal as a book." 
~ Ernest Hemingway

"Dog is a man's best friend". Buku pula adalah kawan baik si ulat buku. Ke mana saja si ulat buku pergi, di situ juga ada buku yang setia menemani.

Buku menjadi pendengar setia. Menjadi teman ketawa dan juga teman bersedih. Menjadi teman yang sentiasa memberi motivasi dan kata-kata semangat. Memberi kesedaran dan peringatan ketika terleka dengan keseronokan hidup.

Setiap kisah dan patah kata pada helaiannya memberi ilmu yang tidak ternilai untuk dihayati dan diamalkan.

Itulah uniknya buku, sahabat setia yang istimewa. Tidak pernah jemu dan bosan menemani. Sentiasa di sisi seorang ulat buku.



Quilting Pouch Beg

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

Assalamualaikum w.b.t.

Yang ini saiznya lebih besar sedikit dari sebelum ini. Nak cuba buat sendiri ?. Boleh rujuk tutorial di sini. Kalau tak faham boleh tanya saya. In shaa Allah, saya akan bantu apa yang termampu.


Pouch beg yang ini berbeza sedikit kerana ia menggunakan zip lace. Selalu pakai zip yang biasa saja. Saja nak tukar selera cuba zip lace ni pula. Sebab nampak macam menarik je.

Saya gunakan kain linen di bahagian luar dan kain cotton di bahagian dalam. Kain pada bahagian luar dijahit sekali bersama dengan batting dan kain di bahagian dalam dengan meggunakan teknik jahitan quilting. Saya jahitkan secara bersilang-silang dah nampak seperti diamond.

Tujuan batting diletakkan diantara kedua-dua belah kain untuk memberi struktur pada permukaan pouch beg supaya tidak meleper bila ditegakkan.


Pouch beg ini bersaiz lebih kurang 6 inci panjang di bahagian bawah dan 8 inci panjang di bahagian atas. Tingginya pula dalam 5 inci.

Saya gunakannya untuk menyimpan segala peralatan elektronik seperti pendrive, pengecas telefon, MP3 dan macam-macam lagi. Semua diletakkan di dalam satu beg supaya mudah untuk dibawa kemana-mana dan mudah untuk dicari nanti.

Jadi pembaca semua bolehlah mencubanya. Semoga berjaya.



Pouch Bag Kiut Miut

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

Assalamualaikum w.b.t.

Selamat berhujung minggu pembaca sekalian. Nyaman sungguh pagi ni di sini dengan hujan yang renyai-renyai.



Ada masa terluang ni saya nak update lagi projek jahitan saya. Ini dia pouch bag kiut miut sebab saiznya yang kiut miut. Kadang-kadang bila habis menjahit tak sempat nak update terus, nak kena tangkap gambar lagi dan macam-macam nak kena buat.


Inilah dia salah satu projek dari buku kraf dan jahitan 'Pretty Little Cozies' yang pernah saya beli dulu. Digunakan untuk menyimpan alatan-alatan solek yang bersaiz kecil seperti gincu. Macam saya, saya letakkan pelembap bibir, bedak kompak dan yang ini penting, minyak cap kapak selaku kawan baik saya. Kadang-kadang duit kertas pun saya letak juga. Alatan solek?, tak ada kot. Hihi.


Pouch bag ni bersaiz lebih kurang 5 inci x 5 inci bila dalam keadaan bertutup. Di bahagian luar saya gunakan kain linen dan di bahagian dalam pula saya gunakan kain cotton. Cara jahitan dan ukuran kain yang diperlukan semua telah dinyatakan dalam buku. Tapi pouch ini taklah 100% mengikut seperti apa yang ditulis, yang mana saya rasa sukar saya guna cara sendiri.


Bahagian hadapan pouch ni saya letakkan bunga lace mengantikan butang sebab di rumah tak ada stok butang yang bersaiz besar. Saya lekatkan sahaja bunga lace ini dengan gam UHU pada pouch tersebut.


Seterusnya, di dalam buku menggunakan butang katup untuk menutup pouch ini. Disebabkan saya nak mudah, ringkas, cepat dan seangkatan dengannya saya hanya gunakan velcro sahaja, seperti dalam gambar di atas. Yang penting pouch ni boleh ditutup. Kan.

Banyak lagi projek-projek comel dalam buku ini. Ada masa boleh cuba buat lagi.



Tempahan Bantal Pertunangan

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini saya nak kongsikan hasil jahitan yang ditempah rakan sekerja sempena hari pertunangannya. Dah lama sangat dah ni. Baru sekarang nak update.



Saya bentukkan dan jahit huruf L,V, E dan bentuk hati tu melalui teknik 'paper piecing', dengan menggunakan templat huruf yang dibeli secara online melalui Etsy. Dengan adanya templat readymade ni lebih mudah dan menjimatkan masa menjahit. Tak perlu nak melukis templat sendiri. Belum tentu saya buat sendiri menjadi.

Nak tahu apa itu teknik 'paper piecing' boleh rujuk di entri saya sebelum ini ya. Semoga dapat membantu.


Perancangan awalnya nak buatkan nama di bahagian yang kena tempek dengan bunga-bunga ni. Nampaknya tak menjadi, jadi saya letakkan hiasan bunga dari biar kosong sahaja.


Untuk bantal yang satu lagi saya gunakan hiasan bunga juga cuma tukar bentuk sikit. Hendak nampakkan perbezaan antara kedua-dua bantal ni. Gitu.


Tarikh pertunangan 7.6.2014. Dah kahwin pun rakan saya ni.

Nama ni disulam guna tangan sahaja sebab tiada mesin jahit sulam. Dijahit berdekatan dengan huruf L, tapi macam tak berapa jelas pula huruf L tu kan. Terlindung dengan nama dan tarikh tu.


Bentuk hati, menggantikan huruf O pada perkataan LOVE.


Huruf V.


Dan yang terakhir sekali huruf E. Siaplah tempahan.

Terima kasih banyak-banyak pada sahabat saya ini kerana sudi menempah dengan saya.

Saya doakan semoga jodoh mereka berdua berkekalan ke anak cucu dan dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah. Amin.



Tutorial Sarung Tab Instagram & Minion Guna Felt

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

Assalamualaikum w.b.t.


Aktiviti kraf adik-beradik di hujung minggu namanya ni.

Adik perempuan saya tiba-tiba teringin lah pula nak buat aktiviti kraf. Jadi aktiviti yang terlintas di fikiran saya ialah seni kraf felt. Ia mudah dan senang dibuat.

Tengah dia ada 'mood' nak buat aktiviti berfaedah lebih baik beri dia galakan. Sekurang-kurangnya adalah aktiviti yang dia buat daripada menonton televisyen saja.

Maklumlah orang dah habis SPM, merdekalah jawabnya. Kalau boleh nak hadap televisyen 24 jam.



Inilah hasil kerja tangan adik saya.

Nampak jugalah rupa minion tu. Jadi kakakmu yang tersangat baik hati ini bagi lima bintang !!. Hihi..

Cuma lepas ini, kepada adik ku sayang jangan lupa kemas bilik balik sudahlah ya. Dah berselerak rupa apa dah.

Baiklah, bagi yang ingin mencuba membuat sarung tab ini boleh ikut tutorial di sini ya.

Selamat mencuba & selamat berkraf.



Projek Kraf Felt

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah


Assalamualaikum w.b.t.


Seni kraf felt ini adalah aktiviti kraf yang pernah saya buat dahulu sebelum mula minat menjahit. Sempat jugalah mengambil tempahan.


Ini adalah projek kraf felt saya yang pertama. Saya cuba buatkan keychain nama untuk adik.

Bila tengok semula hasil projek pertama ini rasa kelakar pun ada. Ya lah budak baru belajar, jahitan pun nampak tak kemas dan tak seimbang.

Gam pula comot sana, comot sini.

Lagi satu, sila abaikan gambar yang kabur dan gelap itu ya. Hihi. Tak pandai nak tangkap gambar lagi waktu ini.

Lama-lama bila sudah cuba banyak kali, adalah sedikit peningkatan. Practices make perfect. Betul tak?

Adik pula bawa keychain ini pergi ke sekolah, ramailah yang minat nak menempah. Budak-budak sekolahkan suka benda-benda comel macam ini. Cuma kesian sebab tak sanggup nak jual pada mereka ini. Ya lah, duit belanja pun mak ayah yang beri.

Tapi bila dah kerap mereka bertanya saya pun ambil tempahan cuma jual pun dengan harga murah sebab budak-budak sekolah.

Tapi itu dulu. Buat masa ini dah tak buat kraf felt lagi. Lebih banyak tumpukan perhatian pada menjahit pula.

Ini di antara koleksi-koleksi kraf felt yang pernah dihasilkan.







Pada yang minat dengan seni kraf felt ini, di sini saya letakkan link diantara laman web yang menjual barangan felt dan juga berkongsi info berkenaan dengan seni kraf ini.

Amal Creative

Sus n d Felt Product

Asma Felt Box

Maya Kraf

Yana Craft

Selamat mencuba bagi yang baru berjinak-jinak dengan seni kraf felt ini dan selamat berkraf !.